Jadual HS kami

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah..Allah izinkan untuk saya terus mengemaskini blog ini. Maaf buat rakan yang mungkin menanti perkongsian saya tentang jadual HS kami.

Saya mengenali istilah Homeschool dalam tahun 2012- 2013 Allah pertemukan dengan blog pertama yang saya telah baca, chitchatovercoffee.

Kemudian masa terus berlalu, saya sentiasa berminat untuk menggali tentang homeschool, terlalu banyak sumber dalam senarai saya. Malaysia dan kebanyakan sumber dari US. Kemudian, saya daftar Pinterest untuk mencari idea bahan- bahan mengajar. Seterusnya hingga kini saya sentiasa membaca dan menonton perkongsian tentang homeschool untuk menambahkan keberkesanan usaha HS saya.

Secara ringkasnya, apa yang telah saya lalui sebelum memulakan home preschool untuk anak sulung saya yang kini berusia 3 tahun, adalah;
1. kenal pasti cara pembelajaran (audio, kinestatik, visual). Cara pembelajaran Muna belum saya kuasai sepenuhnya, apa yang saya lakukan adalah beri sahaja apa- apa aktiviti yang diminatinya. Untuk mengajar Iqra' juga, saya cuba menarik minatnya dengan pelbagai cara, bukan semata- mata membaca buku. Namun, terkadang saya semput juga untuk menyediakan bahan- bahan pembelajaran :).

2. Saya perkenalkan apa- apa saja aktiviti yang sesuai dengan umurnya. Terkadang dia langsung tidak berminat dengan sesuatu aktiviti, maka aya akan terkelip- kelip di hadapannya (boleh masukkan bunyi cengkerik di sini). Sesetengah aktiviti yang belum digunakan saya simpan sahaja, mungkin berguna pada masa akan datang.

3. Saya sentiasa cuba jaya (try and error) tentang masa, rutin, minat sehingga ke peringkat ini, mungkin saya agak stabil sehingga Muna mungkin beralih minat selari dengan perkembangan usianya.

Aktiviti- aktiviti yang dijalani haruslah dalam konteks bermain, dan anak perlu rasa secure untuk meneruskan ke peringkat belajar dan diajar. Boleh rujuk gambar di bawah.

Jadi, subjek yang saya pilih mengikut keperluan dan kesesuaian untuk rutin harian kami adalah
1. Iqra'
2. Juz Amma memorization
3. Reading
4. Mathematics
5. Weekly activities (censorial, experiments, arts, listening skills, life skills, kenjungan ke perpustakaan Burgess Road dan sebagainya)
Belajar memerhati: di belakang rumah
Eksperimen gunung berapi. Mudah saja ;)

Setiap aktiviti saya peruntukkan dalam 5-15 minit.
Masa senggang Muna (masa sibuk saya: memasak, menguruskan Maryam, dan sebagainya) saya beri aktiviti yang boleh Muna lakukan sendiri (mewarna, melukis, menggunting, dan apa- apa sahaja asalkan dia leka dan menambah kemahirannya) sambil saya pasangkan surah yang perlu dihafal berulang- ulang kali. Minggu ini: surah Al Ma'un, saya pasang dari applikasi Quran dalam telefon dan diulangi secara infiniti, mungkin sampai bateri alarm berbunyi. Jadi walaupun Muna bersendirian dengan aktivitinya, saya tahu ayat- ayat Al Quran meresap ke dalam minda dan hatinya dan Alhamdulillah terkadang meluncur begitu sahaja di bibirnya semasa bermain. Begitu mudahnya buat anak- anak ini, kerana bersihnya hati mereka. Ini bukanlah keajaiban, semua anak- anak InshaAllah boleh.
Ajar buat kerja rumah ;)

Biasanya tempoh HS kami secara langsung adalah dari jam 9.00 pagi sehingga 11.30 pagi. Dalam tempoh itu, bukanlah kami duduk setempat, terkadang aktiviti memasak, menyalin lampin, tidurkan Maryam,, Maryam mengaruk, adalam sulaman- sulaman aktiviti HS kami. La haula wala quwwata illa billah (tiada kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah). 

Kenapa saya HS? Saya tak kongsikan secara langsung, anda boleh google tujuan homeschool ;) dan jika anda punya minat yang sama, jangan lupa, masukkan tujuan utama itu kerana Allah. Dan bersihkan hati dan niat selalu InshaAllah... 

Tanamkan minat suka membaca, ia banyak membantu!

Hari ini, 2 September 2015 hari sepatutnya Muna mula belajar Honeybeez Preschool, Basset Green. Rasa seronok melihat anak- anak lain ke sekolah, dan melihat ibu bapa menghantar ke sekolah, tetapi semoga apa yang jelas di hati saya ini, Allah berikan ketetapan padanya. Amin...

Setiap langkah kami adalah ilmu, InshaAllah. Terima kasih buat suami, jika di jalanan (roadschooling), dia turut sama menjadi guru. Kini saya rasa terlalu sibuk menjawab soalan "why" Muna, moga Allah berikan kekuatan dan ilmu buat kami berdua.


Muna juga sedang menghadapi fasa menyesuaikan diri dengan perkembangan Maryam yang sudah pandai berkomunikasi. Muna perlu belajar sabar, mengalah, memahami, dan mengambil berat. Seperti apa yang saya mahukan untuk Muna, seperti itu jugalah yang cuba saya tanam dalam diri saya.

Manakala Maryam mengalami sebahagian proses pembelajaran daripada Muna. Semoga dua anak ini membesar dalam keadaan berkat dan dilimpahi rahmat. 

HS tidak indah pada bahu yang memikulnya, perlu banyak belajar tentangnya, bergusti dengan kemalasan dan time management , banyak doa, banyak jaga hati sendiri sebagai ibu bapa, banyak meminta dari Pemilik Ilmu. Setiap yang keluar dari mulut ibu adalah doa, maka saat hati yang terasa merengkam, geram, mulut ini cuba dibiasakan dengan ucapan- ucapan yang baik (ia satu mujahadah T.T). 

Untuk sumber HS, boleh klik pautan tentang homeschool di sebelah kanan entri ini.

Dan antara sumber utama yang saya rujuk untuk idea, free printables dan sebagainya:
https://www.youtube.com/user/jadita44
https://imanshomeschool.wordpress.com/
http://www.rahmahmuslimhomeschool.co.uk/index/
http://wwwmamahomeschool.blogspot.co.uk/
http://littlekittle.com/blog/

La haula wala quwwata illa billah,
Wasalam. Jazakumullahukhair atas kesudian membaca blog sederhana ini.

Selesai update entri: 4.26 pagu UK, dengan Maryam di celah ketiak T.T

Comments

Popular posts from this blog

What Did I Do Today (Dawud Wharnsby)

Printable for Iqra' 1