PERJALANAN MENGENAL DIRI
Bismillahirrahmanirrahim...
Bermulanya dari pokok tanah liat…..
Anak- anak sedang lena tidur di
tengahari musim luruh ini. Maryam yang berumur setahun lima bulan sungguh comel
ketika tidur. MashaAllah, saya sentiasa terasa ingin memeluknya di bawah
selimut yang tebal, tatkala suhu sekarang dalam 12- 15⁰C. Namun hasrat itu
tidak boleh dilayan, jari- jemari ini harus dipaksa menaip meskipun keadaan kurang
semangat buat saya menulis. Dingin dan suram. Matahari diselindung awan- awan
mendung tebal. Suasana seperti waktu senja sebelum waktunya. Itulah bahasa
musim luruh. Sesiapa yang baru tiba dari Malaysia mungkin akan terasa sedih dan
tertekan dengan cuaca sebegini.
Ini musim luruh terakhir buat kami
sepanjang tiga tahun setengah ini, InshaAllah. Dengan kesejukan malam yang
mencecah 3-4⁰C, kami membayangkan musim sejuk pastinya lebih mencabar. Di sudut
ini, kami rasa gembira untuk pulang ke Malaysia.
Dedaun di pokok- pokok menjadikan
suasana sungguh berbeza. Sukar digambarkan indahnya. MashaAllah, dedaun hijau
kini bertukar warna. Sebatang pokok sahaja mempunyai lebih dari dua warna;
hijau, ungu, merah, kuning, jingga dan perang. Lukisan alam ciptaan Tuhan.
Sempurna.
“Dialah
yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau
tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan
yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah
pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
Kemudian
ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik
kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula
berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).”
(Al-
Mulk: 3-4)
Berbicara tentang pohon- pohon di
musim luruh ini, teringat tentang sebuah pokok daripada tanah liat, yang pernah
saya hasilkan dalam satu program yang disebut “Clay Theraphy” sekitar tahun 2012-2013. Ia diadakan di sebuah
bilik kelas University of Southampton.
Dalam program yang tidak begitu ramai pesertanya itu, kaunselor (saya tidak
ingat namanya) meminta kami membina apa- apa sahaja dengan tanah liat yang
diberikan. Ya, apa- apa sahaja yang sendang terpendam di hati.
Ada dua bahagian dalam program ini,
yang pertama kami diminta meluahkan kisah masa kecil dalam ekspresi tanah liat.
Antara yang masih saya ingati ada peserta yang membuat sebuah meja makan,
menceritakan kerinduannya terhadap suasana makan bersama keluarga, dilayani
bondanya yang telah pergi menemui Allah. Masing- masing menghayati kesedihan
dan kerinduan peserta yang seorang ini.
Bahagian kedua, memerlukan kami
untuk meluahkan apa yang kami rasakan ketika itu. Ada yang membuat model topi
graduan PhD, ada yang membuat komputer, karipap dan banyak lagi yang melucukan.
Kemudian, dengan ‘model’ masing- masing kami diminta untuk bercerita
mengenainya. Seronok mendengar dan melihat ‘minda’ orang lain. Namun, tidak
langsung saya sangka, dalam rasa seronok bermain- main dengan tanah liat, saya
telah melahirkan satu perasaan yang datang dari lubuk hati paling dalam
sehingga mengalirkan air mata semasa menghuraikan binaan tanah liat saya.
Sungguh malu apabila memikirkan air mata ini tumpah di hadapan ramai orang yang
tidak begitu saya kenali dengan rapat. Saya mengutuk diri sendiri.
Selepas dua tahun barulah saya
berani untuk memikirkan dan menceritakan kembali apa yang telah saya bina dalam
sesi clay theraphy itu kerana kini
ternyata kebenaran perasaan pada ketika itu. Saya telah membina sebatang pokok
yang rendang. Kemudian menceritakan kepada peserta dan kaunselor, betapa saya
ingin mencari keseimbangan dalam hidup, dan memberi manfaat kepada orang lain,
terutamanya sebagai isteri dan ibu.
Saya menangis ketika itu kerana
merasakan diri terlalu lemah untuk mencapai hasrat tersebut. Terasa seperti
belum mengenali diri sendiri.
Sentiasa saya panjatkan doa agar
ditunjukkan jalan, agar Allah pandu saya dalam jalan masa hadapan yang
dirasakan samar- samar. Sebelum kedatangan saya ke UK, saya hanya menganggap
diri sebagai seorang yang hanya mengikuti arus- pelajar, kemudian penjawat awam
yang mempunyai keluarga. Arus hidup saya, seperti arus hidup orang lain. Waktu
pejabat saya di tempat kerja, bakinya bersama keluarga. Namun setelah saya
berada di samping keluarga, keutamaan saya berubah. Kecenderungan saya terarah
kepada tumpuan untuk membina keluarga. Lantas timbullah konflik dalam diri, kerana
hati saya cuba mendefinasikan tentang apakah keutamaan di dalam hidup, kerjaya
atau keluarga. Di manakah keseimbangannya? Apakah yang Allah mahukan dengan
menghantar saya sejauh ini?
Semasa kapal terbang berlepas dari
KLIA membawa kami pertama kali ke bumi Eropah, saya tidak putus- putus berdoa
dan berharap agar ada perubahan yang baik di sebalik hijrah ini. Mungkin itulah
bibit- bibit hijrah hati, dan setelah itu, saya cuba mengharungi apa sahaja
yang saya mampu lakukan untuk mendapatkan sedikit ilmu dan pengalaman.
Menghadiri usrah dan pertemuan ilmiah. Cuba menghadiri apa sahaja perbincangan
dan ceramah, baik dianjurkan oleh komuniti Malaysia, Islamic Society (ISOC), atau komuniti tempatan. Kebanyakan masa
anak- anak akan saya bawa bersama. Membaca dan berbincang. Walaupun sedikit
demi sedikit, tetapi ia perlu dilakukan agar pemikiran tidak terlalu beku.
Saya, antara sedar dan tidak, melalui
sebuah proses tarbiyah dari Allah. Tidak pernah begitu saya fikirkan tentang
tarbiyah. Namun setelah mengalami masalah- masalah biasa dalam rutin sebagai
isteri dan ibu dalam usia perkahwinan yang masih muda, saya bermuhasabah. Saya
perlu berubah. Kebanyakan masalah bukan hanya semata- mata berpunca dari
kelemahan insan- insan lain, tapi sebenarnya berpunca dari kepincangan diri
saya.
Masa berlalu detik demi detik.
Tidaklah juga saya merasakan diri ini benar- benar telah berubah. Tahun pertama
dan kedua saya menjalani rutin- rutin biasa, tanpa kelainan. Ilmu- ilmu yang
saya terima mungkin masih belum mengisi hati. Ilmu yang banyak meniti di bibir,
lantunan di medan usrah, tetapi masih lemah amalan . Masih sebagai orang yang sama.
Di tahun akhir, barulah saya cuba
merangkak- rangkak de dalam kesamaran untuk mencari keseriusan tarbiyah. Sukar
untuk diluahkan dengan kata- kata kerana tiada garisan yang jelas antara saya
dan perubahan hasil tarbiyah terhadap diri.
Comments
Post a Comment