Hijrah ke Bumi Asing (1)
Bismillahirrahmanirrahim
saat baru mendiami rumah sewa lama
Jam di
dinding menunjukkan pukul 5.09 pagi. Suasana di kawasan perumahan telah sunyi.
Kedinginan menjamah tangan yang sedang sibuk menaip. Suhu sekarang dicatatkan
13⁰C tapi dirasakan seperti 9⁰C. November sudah sampai ke pertengahan. Sudah
hampir dengan tarikh pulang ke Malaysia.
Kadang-
kadang minda ibarat sebuah wayang yang cuba memutarkan kembali saat- saat
kedatangan kami ke bumi UK. Ada yang jelas, ada yang kabur. Namun, bila
diteliti, ia seperti sebuah skrip perjalanan hidup yang menceritakan sesuatu
tentang kehidupan saya.
Selepas
tamat pengajian di universiti tempatan, saya mendapat pekerjaan di sebuah kolej
sebagai seorang pengajar. Syukur Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Maka
saya pun menuruti arus kehidupan yang tersedia di hadapan- bekerja, berkahwin,
dan memiliki seorang cahaya mata. Terus bekerja dan anak ditempatkan bersama
pengasuh. Suami pula tinggal berjauhan dan kami bertemu pada hujung minggu.
Situasi yang normal bagi keluarga di Malaysia kini.
Namun,
mungkin bagi sesetengah insan dan diri saya sendiri pastinya, ada sesuatu yang
terasa perlu diubah dan kelainan yang ingin dicari, meskipun kestabilan hidup
telah dicapai- mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap, sudah bekeluarga dan
memiliki harta sendiri serta dapat menyumbang kembali kepada ibu bapa dan
negara. Ada sesuatu, namun tidak dapat dikenal pasti serta tiada banyak masa
untuk terlalu memikirkannya. Pernah sekali saya menangis dalam doa kepada
Allah, kerana merasakan sangat terdesak mencari sebuah perubahan. Pernah
meminta agar dibawa ke suatu tempat yang lain agar ada sesuatu dalam diri dapat
diubah. Saya sendiri tidak pasti bagaimana ia akan terjadi, namun itulah yang
saya pinta dari Allah.
Setelah
menjalani rutin hidup yang agak malar selama 2 tahun setengah sebagai penjawat
awam, mendapat peluang berhijrah ke UK untuk tiga tahun yang mendatang bagai
memberi satu nafas yang berbeza kepada hidup kami sekeluarga. Tidak pernah kami
menaiki pesawat, apatah lagi ke luar negara seperti insan- insan berada atau
ditampung perjalanannya oleh mana- mana badan. Alhamdulillah, kami rasa bertuah
dipilih oleh Allah.
Dalam
masa beberapa bulan kami menyiapkan pelbagai persiapan, kami sempat mendengar
pelbagai bicara orang yang mencadangkan agar saya tinggal di Malaysia dan
membiarkan hanya suami yang ke sana. Soal kerugian senioriti saya tolak ke tepi
untuk berada di sisi suami bersama anak. Tidak wajar berkahwin tetapi tinggal
terlalu berjauhan untuk tempoh yang sangat lama.
“Emak
kurang sihat sekarang,” kata kakak saya yang meminta saya mempertimbangkan
semula keputusan untuk meninggalkan tanah air selama tiga tahun. Seketika saya
bingung, namun, saya juga seorang isteri dan mempunyai keutaamaan tanggung
jawab kepada suami.
“Sihat
atau sakit, setiap orang mempunyai kebarangkalian yang sama untuk mati,” ujar
saya pasrah. Beberapa minggu kemudian, saya menerima berita kemalangan anak
saudara yang berusia 19 tahun di utara tanah air, tempatnya belajar. Kami adik-
beradik bergegas ke hospital dengan penuh rasa berdebar. Kemalangan itu
menyebabkannya koma dan setelah sehari semalam kami berada di sisinya, dia
menghembuskan nafas terakhir. Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Kami tidak
pernah menyangka dia akan pergi begitu awal. Serentak dengan itu kata- kata
saya kepada kakak bermain- main di ingatan.
Semoga
Allah mengampunkan dosa dan merahmati ruh Aiman, seorang anak remaja yang ceria
senyumannya. Hidup perlu diteruskan. Suami menguruskan dokumen- dokumen
perjalanan yang diperlukan, manakala saya mengemas segala keperluan yang perlu
dibawa dan barang- barang yang perlu dipindahkan ke rumah mentua di Johor. Pada
ketika itu saya tinggal di kuarters kolej tempat saya bekerja, dan
Alhamdulillah bantuan dari para pelajar sangat- sangat saya hargai. Mengingati
wajah pelajar- pelajar yang sibuk mengemas dan mengangkat barang ke dalam lori,
menghembuskan perasaan rindu. Semoga Allah jadikan mereka pemuda pemudi yang
berbakti kepada agama dan negara.
Selamat
tinggal semua. Selamat tinggal Melaka. Insha Allah dalam masa beberapa tahun
lagi kita akan bertemu kembali, bisik saya di dalam hati. Lalu kami pun
bergerak dengan dua buah kereta dan sebuah lori milik sepupu pulang ke Mersing.
Setelah
setahun meninggalkan Melaka, Ummi, ibu mentua saya menyatakan sebaknya apabila
melalui negeri bersejarah itu setiap kali berulang- alik Johor- Kuala Lumpur.
Rindu seorang ibu.
Sehingga
hari akan menaiki pesawat malam, saya dan suami bagai tercungap- cungap
melengkapkan keperluan. Saya memastikan stok susu formula untuk beberapa bulan,
lampin, ubat- ubatan, rempah ratus dan sebagainya telah dimasukkan ke dalam
beg. Persiapan akhir ini kami lakukan di rumah sepupu suami di Putrajaya.
Pada
sebelah petang, saya dan suami ke pusat telekomunikasi untuk menghentikan
langganan talian telefon. Tiba- tiba suami menyatakan kehilangan bateri laptop.
Setelah dicari- cari di sana sini, suami menelefon temannya untuk membelikan
bateri baru. Alhamdulillah, kekalutan sebentar itu hilang.
Apa-
apa sahaja perkara yang mencemaskan mampu terjadi saat segala persiapan telah
dibuat dan masa bertolak tinggal lagi beberapa jam. Rakan saya pernah
menceritakan kejadian kehilangan passport suaminya. Dalam kelam kabut dan
kehilangan arah untuk mencari lagi, suaminya terpaksa membuat passport baru
yang menelan lagi sejumlah wang yang besar. Rakan saya di rumahnya cuba
menenangkan suaminya dan melakukan solat hajat. Namun, di pejabat imigresen
passport baru diterima bersama passport lama kerana ia diserahkan kembali oleh
seseorang yang telah menemukannya.
Itulah
satu pengajaran besar yang berharga RM 250. Segalanya tidak mampu ditolak andai
telah tersurat. Cara kita bertindak balas dengannya memberi pelbagai pengajaran
dan hikmah apabila direnungi. Dalam kes ini, sebagai satu usaha mengelakkannya,
pelbagai persiapan yang dirancang mungkin boleh dicatatkan dan diselesaikan
satu persatu bagi mengelakkan rasa tergopoh- gapah. Biasanya sikap tergopoh-
gapah mampu menghilangkan ketenangan, menggoncang fikiran dengan rasa tertekan,
dan mampu mengundang kesilapan lain.
Namun,
kesilapan pasti boleh berlaku walaupun kita telah mengambil pelbagai langkah
berhati- hati. Di saat itu, kita sangat perlukan sebuh ketenangan untuk
bertindak dengan sewajarnya. Seperti yang rakan saya lakukan, memujuk suaminya,
bersolat dan berdoa, adalah perkara yang sangat- sangat membantu. Saat- saat
itu kita mengakui kelemahan diri dan kekuasaan Allah, saat itulah Dia akan
menunjukkan jalan. Barang kali untuk mengingatkan hamba- hambaNya yang lalai
terhadapNya.
keluarga menghantar di KLIA
20
September 2012, kami terbang membelah langit malam Malaysia, ke suatu tempat
yang asing. Tiada apa yang mampu dijangkakan akan berlaku, hanya doa yang tidak
putus- putus terucap di hati. Pemergian kami dihantar dengan air mata Ummi.
Kini hanya doanya dan ahli keluarga kami yang sentiasa mengikuti.
langit pagi bumi Eropah
“Ya
Allah, jadikanlah hijrah ini mengubah diriku menjadi insan yang lebih baik.
Lindungilah kami bertiga.”
Seperti
orang kampung masuk istana, kami terkebil- kebil diminta oleh pramugari untuk
menukar tempat duduk ke bahagian tengah kapal terbang. Tempat duduk kelas
pertama bersama bassinet, untuk
membaringkan anak sulung kami, Muna yang baru berusia tujuh bulan. Bassinet ibarat bakul kecil yang melekat
di dinding. Alhamdulillah, rasa berdebar menaiki kapal terbang bersama anak
kecil, lenyap melihat bayi kami lena dan bangun untuk bermain- main. 12 jam
melalui waktu malam, terasa tidak mampu untuk tidur. Lamanya, bilalah mahu
sampai. Bisik hati.
Muna yang lena di dalam bassinet
Selepas
subuh 21 September 2012, kapal terbang yang kami naiki mendarat di lapangan
terbang Amsterdam. Saya bersyukur walaupun baru kali pertama berada dalam
situasi tersebut, kami dapat melalui proses transit dengan baik.
Tidak
lama kami di lapangan terbang Amsterdam, perjalanan diteruskan ke Southampton
menaiki pesawat Fly be. Kecil sahaja
pesawatnya, dan penerbangan hanya mengambil masa kira- kira dua jam. Pagi yang
cerah. Pemandangan daratan bumi Belanda sungguh indah. Kelihatan kincir angin
berderet- deret. Gunung- ganang yang sebahagiannya diliputi salji. Ladang-
ladang luas yang kelihatan tersusun. MashaAllah. Berbeza dengan perjalanan
malam tadi, tiada yang dapat dilihat. Melalui Laut Utara menuju England membuat
saya gerun. Dalam tawakal mendoakan keselamatan sampai ke destinasi.
Tiba di lapangan terbang
Southampton, kami bergegas untuk mengambil beg dan memasang kereta tolak
(stroller) Muna. Seorang petugas wanita yang memantau keadaan menawarkan untuk
mendukung Muna. Saya dan suami berasa begitu lega atas bantuan wanita tersebut.
Di kaunter imigresen pula, kami diajukan beberapa soalan oleh pegawai bertugas
dan dokumen yang ditunjukkan diperiksa dengan teliti.
“Awak sungguh comel, tahu
tak?” sempat pegawai itu menegur Muna. Kami hanya tersenyum, mungkin terasa
tidak begitu sukar untuk melalui pemeriksaan yang pada asalnya agak
mendebarkan.
Setelah
semua bagasi diperolehi, kami menarik nafas lega dalam kesyukuran yang
amat. Di bahagian lobi, Abang Syahrul
telah menunggu bersama secawan kopi Costa untuk menjemput kami. Beliau
merupakan penghulu Keluarga Malaysia Southampton (lebih mudah disebut sebagai
Keluarga Soton) pada ketika itu. Beliau membawa kami ke rumah Abang Rizal dan
Kak Syarifah Nora yang mesra dengan panggilan Kak Pah. Mereka menjadi hos kami
selama seminggu sementara mendapat rumah sewa. Kami sekeluarga mengucapkan
ribuan terima kasih kepada semua ahli Keluarga Soton yang telah membantu
sehingga kami dengan selesa mendiami sebuah flat di Welbeck Avenue. Hanya Allah
sahaja yang mampu untuk membalas segala kebaikan mereka. Dari proses pencarian
rumah, sehinggalah membeli keperluan rumah. Komuniti kecil ini terasa akrab
sekali.
Maka bermulalah kehidupan
kami di flat kecil tersebut. Segala- galanya masih terasa kosong di minda saya.
Tidak pasti apa yang akan saya tempuhi pada ketika itu. Saya hanya melalui apa-
apa sahaja situasi tanpa perancangan masa depan yang khusus. Apakah yang bakal dihadapi di hayat yang bakal dilalui di Southampton dalam masa tiga tahun mendatang? Hanya Allah yang tahu.
kali pertama menikmati keindahan musim luruh bersama suami dan Muna, 7 bulan
Comments
Post a Comment