Tangisan dan Perpisahan- catatan 2 bulan M3

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah, 22/8/17 genap 2 bulan usia Muhsin. selama 2 bulan ini saya cuba memahami dan mengkaji tingkah lakunya, seperti yang saya baca dalam buku parenting, "What Every Parent Needs to Know" tulisan Margot Sunderland. kawan- kawan di UK boleh dapatkan buku ni melalui Amazon. harganya £14.99. Buku ini menceritakan teknik parenting dengan sungguh terperinci melalui kajian- kajian termasuk melaui sudut saintifik.

  Dalam tempoh post partum sehingga sekarang, saya cuba mengaplikasi maklumat dan kefahaman dalam bab crying and separation. Saya kongsikan di sini, barang kali dapat dimanfaatkan terutama sekali buat ibu- ibu atau bakal ibu baru. Memang tiada teori yang fixed kerana setiap anak kita adalah unik. Tapi ilmu sangat penting untuk kita memberi respon  yang betul terhadap keperluan anak, dengan harapan anak- anak kita dapat berkembang dan membesar dengan lebih baik.

  Anggaplah ini satu maklumat tambahan selain maklumat yang biasa kita dengar khususnya petua- petua tradisi.

  Saya akan bermula dengan penyataan ni..
"jangan ajar sangat bayi tu berdukung, nanti bila pengasuh jaga susah."
"biar baby awak menangis, dia nak kembangkan paru- paru dia"- biasanya jururawat- jururawat yang dah senior cakap ;)

OK, penyataan kedua tu, tidak berasas, tapi banyak disebut. bayi menangis bukan untuk kembangkan paru- paru, atau nak manipulasi ibu bapanya, tetapi bayi menangis kerana ia perlukan pertolongan.

  Sangat menggembirakan jika bayi anda menangis, dan anda tahu bagaimana membantunya . Jadi kita takkan terlalu penat dan stress. 

  Saya belajar tentang ini dari rancangan Oprah. saya terjumpa rancangan ini semasa bujang dulu.. Masha Allah bayi tanpa mengira bangsa dan kerakyatan, bercakap satu bahasa yang sama- bahasa bayi! amazing kan?



-lapar : tangisan yang berbunyi nneehh.. 
-angin: ek ek ek/ eir..bunyi meneran sikit..kaki naik atas
-lampin penuh, tak selesa..: heh..
-mengantuk: owh..
-nak burp: eh eh


Jika ketiga- tiga hal ini sudah dipenuhi, tetapi masih menangis, perlulah kita periksa mungkin ada masalah lain seperti sakit.

  Daripada buku yang saya baca, What every parent needs to know, bayi menangis, pada mulanya sukar untuk kita kesan mengapa- sama ada ia lapar, letih, tidak selesa, sakit, dan sebagainya. Bayi juga lebih selesa berada dalam pelukan atau dukungan kerana dengan jika kita letakkan ia di bawah, ia akan menjadi panik. Jangan sesekali anggap bayi nak manipulasi kita, kerana, Subhanallah, bayi otaknya sangat kurang matang untuk berbuat demikian. Mereka, kata Rasulullah, ibarat kain putih. Saat itulah kita patut rasakan diri kita ini 'hero' yang dapat menyelamatkan si kecil itu.

  Tangisan yang berpanjangan atau prolonged crying seboleh- bolehnya dihindarkan.  Ia bukan sahaja membuatkan orang di sekeliling bayi tersebut rasa tidak selesa, malah ia membahayakan bayi. Tangisan tersebut menggambarkan keadaan bayi yang terdesak memerlukan pertolongan. Jika kita biarkan sehingga ia berhenti, ia hanyalah kerana bayi sudah letih dan terasa tiada harapan- pertolongan tidak akan datang. sedih kan.

  As for Muhsin, saya cuba aplikasikan apa yang saya pelajari, Alhamdulillah. dengan izin allah, jika dia menangis, tangisannya hanya kejap- kejap dan bersifat memanggil saya. Kadang- kadang dia terjaga tanpa menangis. Ada kala kehadiran kakak- kakanya sudah membuatkannya gembira. Jika tangisannya tiba- tiba dan meraung kuat, saya akan meluru dan mengangkatnya ke dada. "Burp!" Dah selesai masalah si kecil ni. Boleh letak semula dan sambung buat kerja,atau perlu dilayan sebentar sehingga dia tidur. Pagi tadi, tangisan yang kuat dan tiba- tiba adalah kerana kakaknya meletakkan tangan ke leher (nak peluk) semasa tidur. Pastilah tangan kakak tu berat buat muhsin :).

  Sentiasa senyum apabila memandang wajah bayi anda, dia akan banyak tersenyum dan sangat comel sekali. bila keadaan kita memenuhi keperluannya, bayi akan banyak memberikan respon positif.


  Setakat ini saya cuba untuk tidak menggunakan buai. Jika dia belum dapat tidur walaupun kelihatan mengantuk, saya mendukungnya menggunakan Moby Wrap, dan membuat kerja - kerja ringan dalam rumah. Sekejap sahaja, muhsin akan tertidur dalam dakapan dan saya biarkan agak lama, baru meletakkannya di atas katil. penggunaan kain gendong sangat membantu kerana
- bayi selesa dalam dakapan
-bayi selesa jika dia mempunyai masalah angin atau acid reflux
-bayi mudah tertidur
-kita boleh menjalankan aktiviti lain yang mudah
-bayi lebih behave jika selesa dan gembira

Abah- abah pun kelihatan sangat macho bila guna wrap ;)


Tangisan stress dari sudut kimia

  Sanggupkah anda meletakkan bayi anda dalam bilik yang penuh dengan wasap toksik yang boleh merosakkan otaknya? Sudah tentu tak, kan.

  Tetapi ramai ibu bapa yang membiarkan anak- anak dalam keadaan stress yang lama secara berpanjangan, tanpa menyedaari bahawa ada bahan kimia toksik yang dirembeskan di dalam otaknya.

  Stress hormone- --hormon cortisol dirembes oleh kelenjar adrenalin (yang terletak di atas ginjal). Jika bayi ditenangkan, aras hormon ini akan berkurangan tetapi jika dibiarkan, arasnya akan meningkat. Jika terlalu tinggi, ia boleh merosakkan sistem dalam otaknya yang sedang berkembang. menurut Margot Sunderland (penulis buku tersebut), cortisol merupakan hormon yang berada pada aras yang tinggi selama berhari- hari atau berminggu- minggu dalam badan orang yang sedang mengalami tekanan perasaan.

  Jika anak  membesar dalam keadaan selalu dibiarkan menangis, anak boleh menjadi kurang bertindak balas , dan stress pada usia muda, secara jangka masa panjang, akan menghasilkan seorang dewasa yang mudah marah. Pandanglah diri kita, bagaimana personaliti kita, dan kajilah bagaimana kita dibesarkan. Kenanglah sahabat- sahabat anda yang mesra dan peramah secara semula jadi, dan kenalilah ibu bapa serta ahli keluarganya. Sesungguhnya sifat diri manusia tidak terbentuk dalam satu malam. Namun, andai kata terdapat sedikit kekesalan dalam diri anda, perlu diingat bahawa sebagai seorang yang telah dewasa, kita bebas untuk memilih agar menjadi seseorang yang lebih baik, dan menginginkan hal yang lebih baik untuk anak- anak.


  Selepas ini kami perlu mencari pengasuh atau nursery buat muhsin. Perpisahan atau separation, adalah cerita penting yang akan dihadapi seterusnya. Dalam waktu cuti bersalin ini, saya tak akan cuba untuk melatihnya jauh dari saya.--saya akan mengangkat dan memeluknya semampu saya, kerana kami berdua memerlukan ini. Hakikatnya bila bersama- sama, akan terjalin ikatan yang kuat dan memberikan ketenangan buat ibu dan anak. kenapa harus terburu- buru untuk mengelakkannya? Bayi merupakan makhluk kecil yang perlu kita cukupkan keprluannya. Sifat kebergantungan atau clingy ini sebenarnya merupakan saham buat kita. kita bersabar, dan mendidiknya, Inshaallah suatu hari nanti anak- anak akan mengingat kita dalam setiap langkah mereka. Ia dapat menghindarkan mereka daripada terjerumus jauh ke dalam kemusnahan diri, dan  menjadi insan yang lebih baik.

  Saya juga sentiasa berdoa dan bersolat hajat agar muhsin dijaga oleh seseorang yang solehah, bertaqwa serta dapat menyayanginya. Saya tinggalkannya dalam jagaan Allah Yang Maha Memelihara, begitulah doa setiap kali saya berpisah dengan anak- anak apabila ingin ke tempat kerja.

"Find a babysitter who fears Allah," pesan seorang kenalan di England dulu. Beliau merupakan seorang pengasuh yang cukup berwibawa buat saya.

pengalaman saya sendiri menjadi pengasuh Ayra


"Latih anak berpisah dan berdikari lebih awal"?
perlu kita fahami apakah kesan daripada tindakan kita. Berikut merupakan penjelasan ringkas yang saya petik daripada buku tersebut.

  1. anak kecil sifatnya tidak tahu. dia tidak tahu yang kita bukan 'pergi kerja' buat selama- lamanya. dia berasa takut tanpa kita. over-active fear (ketakutan yang amat) boleh menyebabkan perasaan fobia, obses, dan tingkah laku untuk mengelak perasaan takut dalam hidup. anak kecil perlu belajar secara beransur- ansur bahawa anda bukan hilang apabila anda masuk ke tandas!
  2. perpisahan adalah sesuatu yang menyakitkan bagi anak kecil, seperti mana sakit fizikal.
  3. mereka belum bersedia untuk berdikari. bersekolah asrama, pusat jagaan merupakan contoh. anak- anak kecil perlu diterangkan tentang berapa lama  mereka akan ditinggalkan, dan dengan siapa mereka ditinggalkan. ibu bapa perlu peka terhadap emosi mereka. jika ditinggalkan begitu sahaja, ia akan menyebabkan kesakitan emosi yang amat pada anak. jika anak- anak ditinggalkan dengan reassurement dari ibu bapa, inshaallah anak- anak akan lebih bersedia, kurang menangis, walaupun menangis, tetapi sekejap.
  4. walau perpisahan yang sebentar boleh membahayakan anak. meninggalkan anak dengan seseorang yang tidak biasa, terutamanya. walaupun anak sudah berhenti menangis, anak sebenarnya telah masuk ke fasa tertekan. mereka tidak mahu bermain dengan orang lain dan permainan. kisah seorang budak lelaki kecil, yang berpisah dengan ibunya selama 11 hari, tidak mahu makan, menangis berpanjangan, dan mengamuk di lantai. enam tahun kemudian, anak itu masih marahkan ibunya.


Sekian dulu catatan ringkas dari saya. semoga ibu bapa dan bakal ibu bapa yang membaca beroleh manfaat. Segala yang baik dari Allah, yang kurang saya mohon kemaafan :)

Terima kasih.



Comments

Popular posts from this blog

What Did I Do Today (Dawud Wharnsby)

Printable for Iqra' 1