Usrah Mawar: Mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada penganut Kristian.

Assalamualaikum wrb...
Suasana malam di University of Southampton

Krismas semakin menghampiri. Di Soton, sudah terasa kemeriahannya sebulan awal. Lampu- lampu berkelip- kelip dengan gambar- gambar dan patung Santa Claus dan rusanya sudah mula 'menceriakan' rumah- rumah di kejiranan kami. Jualan murah ada di sana- sini.

Perayaan Krismas kini dianggap sebagai international festival. Semua orang tau. Tapi kalau kita tanya rakyat UK bukan Islam adakah mereka tahu tentang Eid (Hari Raya umat Islam), masih ramai yang belum mendengarnya.

Di Malaysia, biarpun Muslim merupakan majoriti, kita dapat melihat, atas nama muhibbah, sesetengah umat Islam turut sama meraikan festival yang diraikan oleh penganut agama lain. Atas nama perpaduan, rumah- rumah terbuka diadakan secara besar- besaran pada setiap perayaan, dan disertai semua bangsa dan agama. Masih ramai yang belum sensitif akan 'sesuatu' yang mungkin tidak kena dalam hal ini. Ini disebabkan kurangnya ilmu dan kefahaman dalam agama, malah kurang pula usaha untuk memahamkan umat Islam khususnya.

Manakala di sini, rakan- rakan yang belajar di University of Southampton seperti biasa mungkin menghadapi dilema sama ada untuk mengucapkannya kepada kenalan mereka atau tidak. Kekeliruan mereka mungkin sekali adalah kerana untuk mengelakkan daripada menunjukkan kegembiraan kita di atas keriangan mereka amat sukar, kerana sekeliling kami majoriti beragama Kristian. Dan ini sudah tentu tidak dapat difahami oleh rakan- rakan beragama Kristian. Barangkali Muslim akan dilihat sebagai kelompok yang 'menjauhkan diri'. Wallahualam, itulah yang boleh saya katakan dari situasi rakan- rakan yang bergelar pelajar.

Terdapat fatwa daripada Dr Yusuf Al Qardhawi, dan daripada JAKIM sendiri tentang hal ini. Namun sebelum itu, saya ingin berkongsi secara asasnya, mengapa kita sebagai Muslim tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perayaan Krismas.

1. Setiap umat ada perayaan masing- masing.

Sabda Nabi s.a.w. kepada Abu Bakar r.a. - "Setiap kaum ada perayaan, dan ini adalah perayaan kita" {إن لكل قوم عيد وهذا عيدنا } (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini merujuk kepada 2 perayaan Eid yang khusus bagi orang Islam. Orang Islam tidak ada perayaan lain selain dari Eidul-Fitr dan Eidul-Adha. Anas r.h. berkata : “Nabi s.a.w. datang ke Madinah, orang-orang Madinah biasa mengadakan 2 pesta/perayaan. Di kedua perayaan itu mereka ada permainan/pesta. Kata baginda (Nabi s.a.w. bertanyakan kaum Ansar mengenainya): “Apakah itu dua hari?” Mereka menjawab: “Kami biasa bermain/pesta di masa zaman Jahiliyyah dahulu lagi.” Nabi saw memberitahu mereka: “Sesungguhnya Allah s.w.t . telah mengurniakan 2 hari yang mempunyai kebaikan di dalamnya, iaitu hari Eidul-Fitr dan hari Eidul-Adha.”

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ . " سنن أبي داود 1134 
Riwayat Abu Daud, 1134.

Di sini dapat kita lihat, masing- masing agama mempunyai identiti sendiri, dan salah satu identiti bagi umat Islam adalah perayaan dua Hari Raya, Aidilfitri dan Aidil Adha. Dan sebagai seorang yang mempunyai ketetapan pendirian, pastinya faham bahawa seseorang itu mana mungkin dapat memiliki identiti yang bertukar- tukar. 

2. Penganut agama lain tidak dimestikan dari mengikuti perayaan kita, tapi kadang- kadang kita pula terlebih girang dalam perayaan mereka. Hal ini jelas terutama sekali di kalangan kanak- kanak dan remaja, yang mana pada peringkat ini mereka berasa seronok melihat perhiasan- perhiasan di pusat- pusat membeli- belah, melihat iklan- iklan dan lagu di kaca tv, malah ternanti- nanti rancangan apa yang bakal dihidangkan pada musim perayaan. Bab rancangan tv, orang tua pun suka;). Namun, dalam kegirangan dan tampak meriah itu, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran tentang sebab kegembiraan anak- anak. Adakah mereka bergembira dengan sebab yang betul atau salah. Jika salah, terangkanlah semula apa yang betul mengikut pandangan agama Islam, namun dalam keadaan ibu bapa sendiri benar- benar memahami dan mengamalkan sebaik- baiknya ajaran agama. 

Untuk lebih memahami akan peranan ibu bapa dalam mendidik anak- anak tentang perayaan agama lain, boleh baca entri Ustaz Hasrizal berkaitan Halloween.

3. Namun sebab yang paling penting dan perlu benar- benar kita fahami adalah tujuan di sebalik perayaan tersebut. Dalam hal ini, Hari Krismas merupakan hari menyambut kelahiran Nabi Isa, yang dianggap sebagai anak tuhan. Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang hal ini, cukuplah secara umum tentang siapa Nabi Isa(a.s) atau Jesus Christ pada pandangan kaum Kristian seperti apa yang kita tahu. Namun apa yang jelas telah disebut oleh Allah dalam Al Quran untuk sama- sama kita ambil peringatan. Dalam Surah Maryam (Mary), Allah berfirman:

A088
Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."
A089
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
A090
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -
A091
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

Lihatlah dalam ayat 90, langit nyaris- nyaris pecah dan bumi nyaris terbelah, serta gunung- gunung nyaris runtuh disebabkan pengakuan syirik manusia yang diciptakan oleh Ar- Rahman. Bagaimana pula kita, sebagai seorang Muslim dengan sewenang- wenangnya menyokong sahaja tindakan mempersekutukan Yang Maha Esa dengan sesuatu? Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Jadi, di sini kita perlu berhati- hati daripada terjatuh ke dalam perbuatan seolah- olah atau sememangnya menggalakkan perbuatan syirik. Mari kita ingat, syirik adalah dosa yang tidak diampunkan Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
(An-Nisaa' 4:48)

NAMUN,


permasalahan menjadi lebih luas buat Muslim yang berada dalam kalangan majoriti Kristian atau keluarganya beragama Kristian. Dalam pada menegakkan tauhid dalam diri, kita juga ingin mudah didekati supaya mereka dapat sama- sama melihat keindahan Islam. Untuk melihat penjelasan Sheikh Yusuf Al Qardhawi, sila klik di sini.

Daripada pembacaan di link di atas, kita dapat memahami, bahawa tiada percanggahan antara ulama tentang larangan menyambut perayaan Krismas, kerana ternyata jelas maksud dan tujuannya yang bertentangan dengan Islam. Walau bagaimana pun, terdapat khilaf dalam hukum mengucapkan selamat iaitu:

i. tidak dibenarkan, mengikut pendapat Ibn al-Qayyim, Ibn Taymiyyah, Ibn ʿUthaymīn, dan lain- lain.
ii. dibenarkan, dengan niat untuk menunjukkan adab berinteraksi yang baik, bukan untuk menyokong kepercayaan mereka. Pendapat inilah yang disampaikan oleh Sh. Dr. Yusuf al-Qaraḍāwī dan Muṣṭafā Zarqā. Pendapat seterusnya membenarkan pemberian kad- kad atau hadiah yang tidak mengandungi simbol- simbol agama mereka.

Pendapat Dr Yusuf Al Qardhawi adalah berasaskan kepada betapa pentingnya perhubungan yang baik di antara Muslim dan non- Muslim. Untuk mengucapkan "Selamat Hari Krismas", atau "Merry Christmas" bukanlah untuk menyokong kepercayaan mereka, bahkan sebagai cara berinteraksi dengan adab yang terbaik. Maka, misalnya jika ingin memberi kad atau hadiah, berilah atas dasar persahabatan dan kasih sayang, itu dibolehkan. Untuk fatwa Jakim, sila klik di sini.

Situasi di negara seperti UK dan Amerika, umat Islam perlu bijak menyeimbangkan antara aqidah yang bersih suci dan dalam masa yang sama, dapat menjaga hubungan di dalam kepelbagaian agama yang sangat luas. Oleh itu, perlulah kita mempunyai kefahaman yang jelas dalam hal ini.

"Allahumma faqihna fiddiin."

Jazakumullahukhair kerana sudi singgah. Mohon maaf atas segala kekurangan dalam penyampaian.

Comments

Popular posts from this blog

What Did I Do Today (Dawud Wharnsby)

Printable for Iqra' 1