MEKAR 2015, Kembara Hamba Mencari Pencipta di bumi Wales
Bismillahirrahmanirrahim.
Dari FB Mekar:)
PORT TALBOT WALES, 6-8 April 2015 – HALUAN UK-EIRE dengan jayanya telah melabuhkan tirai program berkala musim bunga di bumi ratu iaitu program Mesra Kembara 2015 (MEKAR) yang dihadiri seramai 64 peserta, setelah 3 hari bersama membina ukhuwah dan mahabbah dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah swt. Dengan bertemakan ‘Kembara Hamba Mencari Pencipta’ MEKAR kali ini sudah pasti mengukir kuntuman ukhuwah dan memori indah di hati para peserta setelah mengikuti pengisian-pengisian serta aktiviti yang disediakan.
MEKAR 2015 bermula pada hari pertama 6 April 2015, di mana para peserta mula menghadirkan diri ke L&A Outdoor Centre, Port Talbot, Wales. Aktiviti pertama bermula dengan slot “Mind Setting” dan sesi perkenalan diri yang dikendalikan oleh pengarah program MEKAR 2015, En. Muhammad Firdaus Hashim. Seterusnya, aktiviti disebelah petang dirancakkan lagi dengan pertandingan futsal dan Barbeque yang disediakan khas oleh AJK MEKAR.
Hari kedua diteruskan dengan sesi kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Asfahani Bashiron yang membawa tajuk “Taubat”. Beliau menerangkan beberapa kaedah untuk melaksanakan taubat dan bagaimana menghalang diri dari melakukan kembali dosa yang telah pun ditinggalkan. Pada sesi pagi pula, slot pertama, “Perjalanan Seorang Parsi” telah diadakan. Disampaikan oleh Ustaz Mus’ab Ghazali, slot ini dijalankan bagi mengembur dan mengambil pengajaran dari sirah sahabat Rasulullah SAW, Salman Al Farisi yang telah mengembara jauh, melalui pelbagai kepayahan dalam tujuan untuk mencari dan mengenal Penciptanya.
Slot kedua pula, “Mencari Erti Kehidupan” disampaikan oleh Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin. Dalam ucapannya beliau menekankan kepentingan seorang muslim itu mengambil pengajaran dalam setiap amalan mereka, terutamanya bagi mereka yang berada di perantauan. Menurutnya lagi, seorang muslim itu berada dalam keadaan berjihad selagi mana dia berada dalam musafir untuk sesuatu tujuan yang baik sehinggalah dia pulang semula ke tempat asalnya.
Usai sahaja sembahyang zohor, aktiviti yang dinanti-nantikan “Jungle Trekking” dijalankan. Dalam berkembara mentadabbur keindahan alam sekitar Port Talbot, ia sudah pasti mengukir seribu satu kenangan indah buat semua yang terlibat. Bagi memastikan segala masa yang ada dipergunakan dengan sebaiknya, beberapa check point diadakan sepanjang aktiviti “Jungle trekking” dan diisi dengan beberapa aktiviti dalam kumpulan seperti permainan regu dan juga mencari barang dalam keadaan mata tertutup.
Disamping itu, perbincangan serta perkongsian ringkas juga diadakan bagi mengambil pengajaran dari setiap aktiviti yang dijalankan, sebagai contoh, perkongsian “Adam’s diet - Tips kesihatan tubuh badan” oleh En. Mohd Fauzi Abu Hassan. Pengisian diteruskan pada malamnya melalui Slot 3, iaitu Forum “Fiqh Luar Negara” oleh panelis jemputan dikendalikan oleh moderator En. Rashid Redza Abdullah. Aktiviti buat anak-anak MEKAR turut diadakan serentak pada setiap slot seperti “ice breaking”, “song lyrics”, “word searches”, “25 rasul”, “bingo games” dan “cupcakes for my parents” bagi meraikan mereka.
Hari ketiga bermula dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Dr. Burhanuddin Busu, beliau berkongsi sirah Nabi Nuh dengan anaknya di dalam surah Al-Hud ayat 42-43. Antara kesimpulan iktibar yang boleh diambil dari petikan ayat Al-Quran tersebut, bahawasanya keimanan itu bukanlah satu warisan melainkan hanya dengan keizinan dan Rahmat dari Allah. Disamping itu, Cikgu Mohd Abdoh juga turut memberi tambahan, dimana secara kesimpulannya, dalam apa jua amalan yang dilakukan atau setiap ujian yang datang melanda, pergantungan kepada Allah itu sahajalah yang paling utama. Bukanlah seperti anak kepada Nabi Nuh yang menolak ajakan ayahandanya kepada Allah bahkan berpaling dan mencari perlindungan dan kebergantungan di gunung-ganang ketika mana banjir besar berlaku.
Sebaik sahaja selesai sarapan, slot 4, “This is My Story” diadakan. Sesi yang berkonsepkan perkongsian rasa ini dimulakan dengan perkongsian oleh dua orang penceramah jemputan mengenai pembinaan baitul muslim, dan ia menarik perhatian para peserta. Di samping itu, perkongsian pengalaman dari para peserta di sepanjang program dan juga hari-hari mereka di bumi barat turut diadakan.
Menurut Maisarah Mansor, 24, menceritakan pengalaman beliau di bumi Perancis, berada di bumi yang asing dengan Islam memberi kesedaran kepada beliau untuk terus teguh mengamalkan ajaran Islam walau mendapat banyak tentangan dari non-muslim di sana.
Bagi peserta lelaki pula, Ustaz Fazid, 40, berkata banyak input baru yang beliau perolehi dari program ini, serta beliau juga berharap supaya ahli-ahli MEKAR nanti dapat terus berhubung walaupun sudah pulang ke tanahair.
Majlis diakhiri oleh ucapan penutup oleh Penasihat kepada Biro Sukan & Rekreasi HALUAN Malaysia, Sir Mohd Abdoh Zainal Abidin. “Hati kita tak boleh ada dua cinta, jika kita sungguh-sungguh cintakan Islam, kosongkan hati dari cinta dunia”, katanya.
Majlis diakhiri oleh ucapan penutup oleh Penasihat kepada Biro Sukan & Rekreasi HALUAN Malaysia, Sir Mohd Abdoh Zainal Abidin. “Hati kita tak boleh ada dua cinta, jika kita sungguh-sungguh cintakan Islam, kosongkan hati dari cinta dunia”, katanya.
Sesi penutup dikendalikan oleh semua panelis jemputan dan tayangan video persembahan oleh anak-anak MEKAR dan rentetan gambar kenang-kenangan sepanjang program juga diadakan. Seterusnya, sesi penyampaian hadiah kepada anak-anak MEKAR telah diadakan bagi memberi galakan kepada anak-anak yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Program MEKAR 2015 tamat secara rasmi dan bersurai setelah bacaan doa dan makan tengahari.
HALUAN UK-EIRE mengharapkan agar program MEKAR 2015 ini diredhai Allah s.w.t dan memberi manfaat buat semua yang terlibat, dalam meneruskan kehidupan seharian sepanjang kembara hamba mencari sang Pencipta.
Disediakan oleh,
Wan Nuur Wan Mansor, Cardiff, Wales
(Setiausaha MEKAR 2015)
Wan Nuur Wan Mansor, Cardiff, Wales
(Setiausaha MEKAR 2015)
Editor,
Siti Farhana Lokman, Manchester, England
(Naib Pengarah Program MEKAR 2015)
Siti Farhana Lokman, Manchester, England
(Naib Pengarah Program MEKAR 2015)
Comments
Post a Comment