Al Mulk : 5
أعوذبالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
Dalam Al Quran terdapat dua jenis ayat: Qauliyah dan Kauniyah. Ayat qauliyah merupakan firman Allah yang menyentuh pelbagai perkara, manakala ayat kauniyah adalah ayat Allah yang menunjukkan kesempurnaan penciptaan Allah, iaitu seperti ayat 5 Surah Al Mulk ini.
Langit dekat yang dimaksudkan adalah langit dunia, yang dapat diperhatikan oleh manusia. Allah menciptakan bintang- bintang sebagai hiasan dan juga sebagai alat untuk merejam syaitan.
Ayat ini bermula dengan perkataan ولقد (dan demi sesungguhnya) yang membawa kepada maksud القسم(sumpah). Ini bermakna perkara yang akan disampaikan dalam ayat ini adalah penting dan perlu diberi perhatian.
Perkataan مصابىح adalah kata ganda (jamak) kepada perkataan مصبح yang bermaksud pelita atau lampu. Bintang- bintang ini mengeluarkan cahaya seperti lampu. Ia tidaklah dapat dibandingkan dengan lampu neon, kerana apabila kita menjauhi lampu neon, semakin jauh cahayanya lalu hilang. Cahaya bintang dapat dilihat dari banyak tempat. Ini memberikan manfaat kepada manusia untuk menentukan arah dan sebagainya. Kehadiran bintang yang bukan sedikit, yang membentuk objek menjadikan sesuatu yang sangat indah dipandang.
Selain menjadi hiasan yang indah, bintang menjadi alat pelempar syaitan. Pada masa awal turunnya wahyu, syaitan cuba mencuri dengar wahyu yang akan disampaikan kepada manusia. Ini bertujuan untuk meragukan manusia. Namun Allah menghalang dengan rejaman dari bintang. rejaman ini bukanlah dengan bintang itu sendiri, tetapi dari sesuatu yang memancar dan membakar. Syaitan yang berasal dari api dibakar dengan api yang pastinya lebih kuat darinya.
Perkara ini menandakan fenomena sains dan perkara ghaib tidak boleh dipisahkan.
Itulah penghinaan yang didapati oleh syaitan di dunia, manakala di akhirat mereka akan diazab di dalam api neraka yang menjulang- julang kerana keingkarannya.
Wallahualam...
Comments
Post a Comment