Al Mulk ayat 7-9



أعوذبالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم

A007
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

Begitu dahsyat keadaan di neraka. Bukan sahaja bakaran api, malah, azabnya sangat buruk dan mengeluarkan bunyi yang mengerikan. Allah menerangkan dua sifat neraka jahannam: mengeluarkan suara, dan menggelegak.

Apabila kita mendengar ayat seperti ini, hendaklah kita bersegera memohon perlindungan Allah daripada azab ini.


Tafsiran ulama tentang sifat api neraka:

1. Api neraka yang dikiaskan seperti makhluk hidup, untuk menerangkan kengerian api neraka.
2. Ulama lain seperti Syed Qutb menyebutkan bahawa api neraka adalah makhluk hidup kerana mengeluarkan suara dan bergerak (menggelegak)

Ayat ini merupakan amaran dari Allah tentang kejadian yang akan berlaku.

Mereka dilemparkan: menunjukkan tiada belas kasihan terhadap orang kafir. Perkataan dilemparkan juga menunjukkan api neraka itu berada di tempat yang bawah.

Sebelum dilempar ke dalam api neraka, mereka mendengar suara, yang ditafsirkan oleh ulama, sebagai suara yang dalam. Tafsiran ulama tentang suara:
1. Suara api neraka.
2. Suara penghuni neraka yang sudah berada di dalamnya.
3. Suara orang yang akan dicampakkan ke dalam api neraka.

Sebelum melihat neraka, bakal penghuni neraka sudah mendengar suara dari dalam neraka (siksaan awal).

Menggelegak: Imam Ibn kathir menganalogikan sebagai kacang hijau yang berada di dalam air yang menggelegak. Keadaan kacang itu berlanggaran antara satu sama lain.

A008
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"

Terdapat dua perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud marah:
غىظ (marah yang amat) dan غضب (marah biasa- biasa). Perkataan yang digunakan dalam firman Allah di atas adalah غىظ.

Ayat di atas juga menerangkan bahawa orang- orang kafir dicampakkan ke dalam neraka secara berkelompok.
Kepada mereka ditanyakan lagi soalan oleh penjaga neraka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"

Soalan ini sebenarnya untuk menambahkan lagi penyesalan orang- orang kafir. Ternyata, neraka bukan sahaja menyeksa secara fizikal, malah mental dan psikologi manusia yang kufur ingkar.

Orang- orang kafir itu menjawab soalan malaikat penjaga neraka dengan penyesalan. Ini ditunjukkan dalam ayat seterusnya:

A009
Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! "

Di dunia dahulu merekalah orang- orang yang sombong dan tidak mahu merendahkan diri untuk mengikut kebenaran.

Kewujudan sabdu pada perkataan "Fakadzabna" adalah bagi menekankan lagi penyesalan yang dirasai oleh ahli neraka.

Wallahualam.

Yang baik itu dari Allah, yang kurang itu kerana kelemahan saya sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

What Did I Do Today (Dawud Wharnsby)

Printable for Iqra' 1