Checkpoint 1


Bismillah, alhamdulillah.

Dalam pada menjalani hari- hari dengan penuh kerisauan sebab banyak perkara baru datang bersama ketidak pastian, hari ini keputusan semester 1 sedikit sebanyak menceriakan hati. Walaupun cik abang kata, sebagai pelajar pasca siwazah penyelidikan, gred kerja kursus tu bukanlah segalanya. Tapi yelah, boleh la dikatakan dah sampai ke check point pertama dalam 'marathon' ini.

Aku coretkan catatan di sini, supaya aku tidak lupa proses yang aku lalui dalam 5 bulan pertama pengajian ini. Mungkin boleh jadi pedoman buat sesiapa sahaja.

1. Syukur dan niat

Alhamdulillah, aku bersyukur diberi peluang Allah letakkan ku di sini. Apabila kita dalam ruang lingkup dan persekitaran menuntut ilmu, ruang memperbaiki diri amat luas. Ramai yang mungkin menganggap sambung belajar ni dapat "lari" dari kerja, tapi tanggapan itu tak 100% betul. Kerana, aku sudah jangka, proses belajar sangat tidak mudah. Jadi, alasan itu tak boleh dijadikan 'big why' dalam menempuh jalan ini. Bila menempuh kesukaran aku ingatkan niatku, yang aku berada di sini adalah untuk melalui proses yang sukar ini. Supaya aku belajar menjadi seseorang yang lebih baik di akhirnya. Menjadi lebih bertaqwa, itu cita- cita utamaku. Serta menumbuhkan 'grit' yang selama ini aku tak pernah miliki. Untuk aku didik anak- anak dan murid- muridku tentang pelbagai sikap yang menumbuhkan potensi. InshaAllah.

2. Stay hungry, stay foolish

Aku mengaku, salah satu cabaran besar yang aku hadapi adalah perasaan bodoh. Bisikan- bisikan yang kadang- kadang mengundang rasa malu. "Bodohnya aku, itu pun tak tahu." Itu perasaan yang agak menyakitkan. Tapi bukankah ia bagus. Sedaya upaya aku cuba melawan hinaan terhadap diri sendiri dengan keyakinan, dengan rasa bodoh itulah menolakku untuk terus belajar dan belajar tidak kira dengan sesiapa pun. Mudah- mudahan ia dapat menangkis perasaan sombong, bangga diri, takbur, ujub dan segala kotoran dalam hati ini.

Dan aku berpegang pada kata- kata Steve Jobs, "stay hungry, stay foolish"

3. Pengurusan masa

Ini yang paling mujahadah sekali. Aku yang dulu membenci disiplin, kini tercari- cari hal itu dalam diriku. Tak jumpa dan aku terpaksa menciptanya. Mencipta struktur dan menyusun prioriti. Banyak masa aku gagal. Aku selalu mengadu pada Allah tentang banyaknya tanggungjawabku dan betapa lemahnya aku dalam menguruskan tanggungjawab itu.. Aku memang tiada disiplin. Tetapi kini aku sangat- sangat menginginkan disiplin itu menjadi sebahagian besar dalam hidup aku untuk aku mencapai kejayaan dunia akhirat. Ini pun taqwa juga.

4. Belajar melakukan setiap sesuatu dengan caranya yang betul dan efektif

Aku menghabiskan banyak masa belajar dari Youtube bagaimana melakukan aktiviti seharian dengan berkesan, sebagai seorang pelajar, ibu, dan isteri, termasuklah dalam menguruskan kesihatan fizikal dan mental. Di bawah ini adalah sebahagian rujukanku.

Pengurusan masa, produktiviti, dan pembelajaran pasca siswazah: Ali Abdaal, PhD & Productivity, Mike and Matty, Merve, Mind Valley

Tarbiyah sebagai seorang Muslimah: Ustazah Nor Hafizah Musa 

Al- Quran: Ustaz Adi Hidayat, Almarhum Sheikh Ali Jabir

Fiqh: Ust Dr. Rozaimi Ramle

Workout: Joanna Soh, dll

Motivasi untuk kerja keras: Tony Robbins, Chris Gardner, Jim Rohn, Steven Covey, dll

Otak dan pembelajaran: Jim Kwik, Dr Rizal Abu Bakar

...terlalu banyak.

Kadang- kadang rasa penat dan' information overload'. Perlu rehat juga dari mendengar banyak sangat 'lecture' ni. Biasanya dengar semasa masak dan banyak juga curi masa study untuk menonton video ni. yang ni dipanggil "unrealized procrastination" hehe.

Subhanallah.... dalam pada sibuk mencari cara itu dan ini kekadang hati berbisik untuk kembalikan segala tawakal, keyakinan kepada Allah, untuk beristighfar. Bagaimana hati yang tak tenang lantaran dosa nak mencapai sesuatu yang baik tanpa taubat. Tanpa penyucian (T_T). Bagaimana bekas yang kotor boleh diisikan makanan? Begitulah analoginya. Banyak menonton video di Youtube dan melupakan untuk membaca panduan dalam Al- Quran. hmmm (mengeluh pada diri sendiri)

Dan perlu juga ingatkan diri sendiri, dalam mengejar pencapaian buat diri, jangan sesekali lupakan anak- anak. Cuba lah sedaya upaya memenuhi keperluan mereka kerana saat ini takkan berulang lagi dan pasti akan dirindui bila tua nanti. Lagipun apa gunanya jika seseorang ibu dan ayah itu menjadi 'somebody' jika anak- anaknya serba ketinggalan. Sesiapa sahaja boleh dipersalahkan. Tapi dalam diam, pasti mempersoalkan peranan ibu ayah itu sendiri.

Setakat ini sahaja dulu coretanku. Semoga aku terus istiqaah menulis untuk berkongsi manfaat, dan mudah- mudahan menyampaikan rahmat Ilahi buat insan. Seperti mana aku memerlukan pertolongan dan kebaikan, seperti itu jugalah aku harapkan aku menjadi manfaat buat umat walau kecil.

Lepas ini aku berharap dapat mencoret bagaimana aku menghadapi penyelidikan kimia, InshaAllah.

Wasalam.





Comments

Popular posts from this blog

Satu hari 17/11/15 jurnal

Solat, sabar, khusyu'